Masa sentiasa bergerak ke depan, umur kian meningkat, sesuatu yang aku tidak terlalu peka mengenainya sejak beberapa tahun yang lalu kini membuat aku berfikir siapa diriku, dari mana asal usulku.
Sepuluh tahun yang lalu, aku masih ingat akan pakaianku setakat memakai t-shirt murah yang mampu aku beli, tidak pernah mencecah harga sepuluh ringgit, malahan seluar jean yang selalu ku pakai, yang sudah lusuh dan pudar warnanya kerana itulah satu-satunya seluar jean yang aku ada. Aku masih ingat, aku tidak memiliki kasut untuk pergi berjalan-jalan, hanya selipar yang sentiasa menemaniku. Aku tidak mengenali Escapade, aku tidak mengenali Kimchi, Shabu-shabu dan sebagainya. Aku hanya mengenali nasi katok, dan memakan nasi katok sudah cukup memuaskan bagiku. Aku tidak mengenali erti panggung wayang, malah membeli tiket wayang menjadi satu ketakutan bagiku.
Kini aku sudah bekerja, hasil dari gajiku, ku beli banyak barang keperluan, baju banyak, seluar jean empat ke lima pasang dan kasut sudah berlambak-lambak malah ada yang belum lagi dipakai. Hampir semua kedai makan sudahku masuk dan mencubainya yang rata-ratanya sekali makan boleh mencecah puluhan ringgit.
Namun, sejak kebelakangan ini, hidupku telah diduga, mungkin Tuhan mengambil,menarik semula kesenangan yang aku miliki untuk sementara waktu, agar aku tidak peka, tidak terlena dan tidak terlupa akan kesenangan di dunia. Ketika itu aku merasakan duniaku gelap, aku tidak pasti akan masa depanku yang selama ini ku rancang. Aku sembunyikan tangisanku di dalam hati. Namun Tuhan telah menyedarkan aku.
Kini hidupku kembali seperti biasa, aku tercari-cari baju, seluar, selipar yang pernah berbakti kepadaku suatu ketika dulu, walaupun ada sedikit tercarik, berlubang di sana sini. Akanku pakai semula pakaian ini jika hendak pergi kemana-mana. Inilah pakaian yang pernah berbakti dan berjasa padaku suatu ketika dahulu, inilah pakaian yang pernah ku pakai ketika belajar di universiti ketika dahulu. Aku nekad dan berazam untuk tidak melangkah masuk ke tempat makan yang mahal. Aku rela pergi ke kedai-kedai mamak atau kedai-kedai cina. Inilah kesedarhanaan hidup yang selama ini aku tinggalkan.